5 Kesilapan Dalam Permohonan Halal Yang Perlu Anda Tahu
Pensijilan Halal atau juga dikenali sebagai Halal Certification memang sangat penting khususnya dalam industri makanan & minuman serta beberapa kategori yang lain seperti produk kosmetik, produk farmaseutikal, barang gunaan, perkhidmatan logistik, rumah sembelihan, produk peranti perubatan, dan premis makanan. Dengan adanya Sijil Perakauan Halal yang sah maka sesuatu produk atau premis itu sudah mencapai standard yang paling tinggi, patuh syariah, bersih dan selamat di gunakan oleh masyarakat beragama Islam. Namun begitu, setiap tahun ada sahaja isu berkenaan dengan permohonan halal yang ditolak atas sebab tertentu. Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda 5 kesilapan dalam permohonan halal yang selalu terjadi.
1. Gagal mengikut piawaian ubah suai premis
Ubah suai rumah sesuka hati pun kadang-kala boleh kena saman dengan pihak berkuasa, apatalah lagi premis yang mempunyai syarat-syarat lebih ketat. Memang wajar sebagai pemilik premis kita mahukan yang terbaik dari segi citarasa sendiri. Namun kita perlu faham untuk piawaian ubah suai premis yang salah akan memberi risiko kegagalan permohonan halal yang dibuat.
Setiap negeri biasanya mempunyai piawaian tersendiri. Boleh rujuk pada laman web Majlis Perbandaran Negeri masing-masing untuk maklumat terkini.
2. Tidak menyediakan ruangan khas pekerja
Ruangan khas pekerja mungkin nampak remeh bagi sesetengah pihak. Bagi mereka untuk apa ruangan khas ini sekiranya bilangan pekerja yang ada pun tidak ramai, dan kos pula akan bertambah bagi memastikan ruangan bilik dalam keadaan baik dan selesa.
Kes-kes seperti ini memang sering berlaku khususnya dalam Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Sedar atau tidak faktor pemohon gagal mendapatkan sijil halal kerana sifat sambil lewa mereka untuk menyediakan ruangan khas pekerja. Fungsi ruangan ini tidak lain untuk para pekerja menyimpan barangan peribadi, aksesori diri, dan apa-apa peralatan yang dilarang ketika masuk ke dalam proses pengendalian makanan bagi mengelak pencemaran. Bagi pekerja Muslim ruangan pekerja akan menjadi ruang solat yang selesa bagi menunaikan solat 5 waktu.
Pekerja yang sudah mengikuti Kursus Pengendalian Makanan sepatutnya lebih arif berkenaan dengan kebersihan dan keselamatan diri serta ruangan kerja. Namun seperti biasa sesetengah pekerja pasti akan melanggarnya. Pekerja memakai aksesori gelang, jam, dan perhiasan ketika mengendalikan makanan, itu salah dan tidak dibenarkan sama sekali.
Pekerja ini juga tidak menjaga kebersihan diri dan premis. Contohnya dengan meletakkan peralatan keselamatan diri seperti sarung tangan getah, dan topi keledar merata-rata tempat.

3. Tersalah pilih lokasi premis
Garis panduan mengatakan bagi mana-mana pihak yang mahu menjalankan operasi pengeluaran makanan, kawasan tersebut haruslah jauh daripada industri berat seperti bengkel motor, bengkel kereta, pusat kimpalan, atau apa-apa sahaja premis yang berkaitan dengan kerja-kerja besi dan sebagainya.
Pencemaran akan mudah berlaku dari penyebaran secara meluas asap toksik dan bahan sisa buangan industri berat kepada premis yang menjalankan operasi pengeluaran makanan yang berhampiran.
Bayangkan sahaja kedai proses donut frozen dibuka bersebelahan dengan kedai buat grill pagar rumah, bukankah banyak pencemaran yang berpotensi berlaku seperti pencemaran bunyi, udara, bau, dan sebagainya.
Di samping itu, lokasi yang berdekatan dengan tempat tidak halal atau berada di premis jual makanan tidak halal juga perlu dielakkan untuk menjaga kesucian makanan tersebut.
Pemohon yang tersalah pilih premis bukan sahaja gagal dalam permohonan halal tetapi juga akan menanggung kerugian ribuan ringgit dari bayaran sewaan premis, dan lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan.
4. Tidak menyediakan carta alir proses
Carta alir pemprosesan (aliran proses makanan dari langkah pertama sehingga siap dipasarkan) dalam premis sangat penting bagi memudahkan perlaksanaannya. Setiap kali pihak penguji, perunding, atau auditor halal sekalipun datang ke premis kita, soalan pertama yang akan mereka tanya adalah carta alir pemprosesan kerja.
Tanpa carta alir pemprosesan, bagaimana mereka boleh jelas dengan langkah kerja yang berlaku dalam sesebuah premis. Ibaratnya seperti kita pertama kali pergi ke sesebuah negara, benda pertama yang kita perlu ada sudah tentu peta agar tidak sesat.
5. Reka bentuk & struktur di premis yang tidak sesuai

Kesilapan permohonan halal juga akan berlaku dari prinsip reka bentuk dan struktur premis makanan termasuk reka bentuk premis yang merangkumi permukaan dindingnya dan kemudahan asas yang lain. Faktor seperti:
- Keselamatan
- Kukuh / tahan lama
- Ketepatan / bersesuaian
- Berfungsi
- Kebersihan / suci
- Mudah dicuci
- Mudah diselenggara / diperbaiki
- Mesra alam
- Ruang mencukupi
perlu dipertimbangkan sebelum pemohon buat kesilapan dalam pemohonan halal. Reka bentuk premis terutamanya di bahagian pemprosesan seharusnya kalis air, tidak menyerap, mudah dicuci, bukan dari bahan toksik, dan mempunyai ketinggian yang bersesuaian semasa kerja dijalankan.
Diharapkan artikel berkenaan dengan kesilapan permohonan halal ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat untuk elak dari melakukan masalah yang sama berulang kali. Pastikan rancang permis perniagaan anda dengan teliti teratur, dan ikut piawaian yang telah ditetapkan.
TIPS MEMILIH PRODUK HALAL
TIPS MEMILIH PRODUK HALAL
Persoalan mengenai halal sesuatu produk bukanlah benda baru. Isu Halal sentiasa menjadi perbualan topik penting terutamanya jika berlaku sebarang kes atau masalah berkaitan keraguan pengguna terhadap sesuatu produk.
Dari sudut Islam penggunaan sesuatu produk tidak kiralah makanan, pakaian, barang kecantikan dan sebagainya perlulah dihasilkan menepati hukum syarak atau garis panduan yang dijelaskan dalam Al-Quran dan sunah.
Pun begitu, dengan ledakan teknologi maklumat tanpa sempadan menyebabkan kebelakangan ini semakin banyak timbul keraguan dalam kalangan umat Islam berkaitan status Halal. Dengan kata lain, pengguna Islam semakin terdedah dengan pelbagai produk yang disyaki dicampur dengan unsur-unsur yang haram di sisi Islam.
Selain itu, masyarakat Islam Malaysia turut dikejutkan dengan isu penggunaan logo halal palsu dalam produk seperti makanan, kesihatan dan jualan makanan di restoran sehingga boleh meragukan pengguna. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau remeh.
Persoalanya sejauh manakah pengguna muslim di negara ini peka dengan apa yang berlaku dan adakah mereka termasuk dalam kalangan yang mengambil berat dengan isu status produk yang mereka gunakan seharian?
Mari lihat semakan pantas apa perlu anda lakukan pada pembungkusan atau label produk bagi memastikan produk yang dipilih Halal seperti yang gariskan oleh Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada pengguna.
Label pembungkusan terang dan jelas
Anda haruslah pastikan label pembungkusan produk tersebut dicetak dengan terang dan jelas serta tidak mudah dipadamkan. Keadaan ini bertujuan segala maklumat yang dipamerkan jelas sekaligus memudahkan proses semakan dilakukan.
Label pembungkusan hendaklah mengandungi maklumat-maklumat mengikut peraturan, akta dan standard berkaitan. Antaranya maklumat yang perlu dipaparkan adalah seperti berikut:
Nama produk
Logo Halal Malaysia beserta nombor Malaysian Standard (MS) dan nombor rujukan fail (10 angka terakhir).
Contohnya, Kategori Produk Makanan
MS1500: 2009
1059-02/ 2008
Kandungan bersih dinyatakan dalam sukatan metrik (unit SI)
Nama dan alamat pengilangan, pengimport dan/ atau pengedar dan cap dagangan
Senarai kandungan
Nombor kod menunjukkan tarikh atau nombor kelompok pengeluaran dan tarikh luput
Negara asal produk.
Pelabelan dan pengiklanan tidak melanggar prinsip hukum syarak
Anda haruslah pastikan iklan yang dipaparkan pada pembungkusan produk tidak sesekali melanggar hukum syarak dan tidak menonjolkan unsur-unsur tidak sopan. Awas, jika ada elemen yang bertentangan, elakkan membeli produk tersebut.
Penggunaan logo Halal Malaysia untuk tujuan promosi
Sebagai umat Islam, perkara ini sentiasa disalah ertikan. Jika anda membeli sesuatu produk pada musim perayaan, anda hendaklah memastikan penggunaan logo Halal Malaysia pada produk yang anda bakal beli tidak ada kaitan langsung atau digunakan pada produk yang dipromosikan sempena perayaan agama bukan Islam atau bersama dengan lambang agama bukan Islam.
Nama produk tidak menggunakan perkataan ‘Halal’ dan nama-nama berunsurkan keagamaan dan ketuhanan.
Jika anda sering melihat produk makanan terutamanya yang menggunakan perkataan ‘Halal’ pada pembungkusan, sila berhati-hati kerana dikhuatiri syarikat tersebut tidak mempunyai sijil halal serta tidak menepati syarat dan peraturan halal seperti yang telah dinyatakan oleh Halal Malaysia.
Jadilah muslim yang bijak dan peka sebelum membuat pembelian sesuatu produk. Bantu sesama muslim yang lain dengan sentiasa menghidu pergerakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menjual produk tidak halal kepada muslim. Makanlah makanan yang bersih, sihat lagi halal agar badan sihat hati tenang.